Calon pilihan raya Senario Pilihan Raya Umum Malaysia ke-12

Biasanya corak pengundian di Malaysia masih lagi bercorak perkauman. Calon Melayu tidak mungkin menang di kawasan majoriti Cina, Begitu juga calon Cina tidak mungkin menang di kawasan pengundi majoriti Melayu. Lantaran itu calon Melayu dari BN, PAS dan PKR akan bertanding di kawasan pengundi majoriti Melayu di luar bandar. Calon Cina akan diminta bertanding di kawasan pengundi majoriti Cina di bandar. MIC yang mewakili kaum India berhadapan dengan masalah kerana tidak ada kawasan yang mempunyai pengundi majoriti India meskipun di Sungai Siput. Sebenarnya UMNO bersaing dengan PAS dan MCA bersaing dengan DAP. Bagi menampakkan kestabilan dan keseimbangan serta perpaduan kaum, kerusi selamat telah diberikan kepada MCA dan MIC.

DAP pernah meletakkan calon Melayu di DUN Pasir Berdamar. Sudah menjadi tradisi, Barisan meletakkan calon India dan Cina di kawasan majoriti Melayu. Calon Cina sukar memang di kawasan majoriti Cina seperti di Kepong, Bukit Bintang dan lain-lain. Apabila persempadanan semula di beberapa kawasan, senario ini berubah sedikit.

Parti politik

Calon MIC

Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu mahu calon MIC mestilah lebih muda, berpelaran tinggi, memahami komuniti India Malaysia dan tahu politik terutama politik MIC di seluruh Malaysia. Kehendak dan harapan pengundi 10 tahun lalu tidak sama dengan sekarang kerana kini lebih kritis dan kreatif. Calon yang sederhana sahaja tidak mencukupi. Ada kala calon yang berpelajaran tidak bijak berpolitik dan enggan turun padang bergaul dengan masyarakat. Samy Vellu sendiri seorang jurubina. Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel graduan Universiti Malaya, dan semua tiga lagi Naib Presiden MIC adalah professional. Barisan Nasional menawarkan kepada MIC 9 kerusi parlimen dan 19 kerusi DUN.[20]

Banyak kawasan DUN dan parlimen yang bergantung penuh kepada pengundi India. Di negeri Perak, 9 kawasan DUN mengharapkan 70% undi pengundi India untuk menang. Antaranya ialah Sungai Siput (Samy Vellu) dan Hutan Melintang. Pada tahun 2004, DAP menang di DUN Pasir Berdamar (Parlimen Teluk Intan), Pantai Remis (Beruas) dan Sitiawan (Lumut).[21]

Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo selaku pengerusi BN Selangor secara terbuka menyeru pengundi India tidak menikam UMNO dari belakang. Menurut beliau pihak UMNO telah banyak berkorban demi kemenangan calon MIC seperti Cikgu K.Parthiban di DUN Ijok. Sebenarnya majoriti pengundi DUN Ijok ialah orang Melayu tetapi kawasan tersebut diberikan kepada MIC.[22]

Meskipun demikian kaum India membentuk antara 10 hingga 30 peratus pengundi sekurang-kurangnya di 62 kawasan Parlimen serta 130 DUN di Malaysia.[23] Kaum India setia menyokong Barisan Nasional sejak 1959 lagi.

Calon MCA

Seteru MCA dan Gerakan ialah DAP. Dikatakan bahawa di mana ada MCA dan Gerakan, di situ ada DAP yang bertindak sebagai pesaing atau peransang pengundi Cina. DAP selalu dilihat sebagai 'check and balance' kepada perjuangan MCA dan Gerakan. Apa yang gagal diperjuangkan oleh MCA dan Gerakan, akan diperjuangkan oleh DAP. Secara umumnya kaum Cina masih menguasai ekonomi di Malaysia. Mereka telah bermula lebih awal dalam bidang perniagaan, iaitu sejak pentadbiran British di Tanah Melayu lagi. Pihak Inggeris telah memberikan peluang yang luas dalam bidang ekonomi dan pendidikan kepada kaum Cina bagi memastikan dasar pecah dan perintah mereka berjaya direalisasikan. Hal ini membolehkan kaum Cina lebih berjaya dalam perniagaan, perdagangan dan pendidikan tanpa bantuan kerajaan sekarang. Sehingga kini sekolah rendah vernakular aliran Cina terus dipertahan walaupun cuba diketepikan melalui Penyata Razak dan Laporan Kabinet 1979.

Pada pilihan raya umum 2004, Leong Ngah Ngah dari DAP memperoleh 5,845 undi di DUN Triang, Pahang, menang tipis ke atas calon Barisan Nasional (BN) dari Gerakan Tan Ah Been yang mendapat 5,240 undi.

Datuk Seri Chan Kong Choy selaku Timbalan Presiden MCA dan Menteri Pengangutan serta Pengerusi Jawatankuasa Persediaan Pilihan raya MCA mahu jentera pilihan raya MCA bekerja keras di peringkat akar umbi.[24]

Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo tidak mahu pengundi kaum tertentu 'bermain wayang'. UMNO banyak berkorban untuk memberi kemenangan kepada calon parti komponen Barisan Nasional. DUN Sekinchan di Tanjung Karang, Selangor dimenangi oleh DAP walaupun bersebelahan dengan DUN Pasir Panjang (Dr. Mohamad Khir Toyo ).

Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting mahu Datin Paduka Chew Mei Fun kekal di kerusi Parlimen kawasan Petaling Jaya Utara. Chew Mei Fun yang terlibat dalam kemalangan pada 9 Disember 2007 dijangka mampu meneruskan khidmat.[25]

Pembangkang

Parti politik di Malaysia sukar untuk berpakat secara telus kerana masalah sensitif - masyarakat majmuk yang berbeza dari segi kaum, agama, budaya, bahasa dan 1001 yang berbeza. Di luar negara, keadaan masyarakat nampak seragam tetapi tetap tidak dapat sepakat. Contoh terbaik ialah parti politik di Indonesia, Pakistan dan lain-lain.

Perikatan adalah pakatan parti pemerintah yang melibatkan UMNO, MCA dan kemudian MIC. Seterusnya Perikatan bertukar kepada Barisan Nasional pada 1972 selepas Peristiwa 13 Mei 1969. Barisan Nasional mengandungi 14 parti komponen.

Pembangkang pernah bersatu secara longgar dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1990 dan Pilihan Raya Umum Malaysia 1995 iaitu diantara PAS dan Semangat 46 sehingga Kelantan jatuh ke tangan PAS. Tapi akhirnya Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dibubarkan pada Mei 1996 dan mereka kembali kepada UMNO setelah Anwar Ibrahim dipecat. Dr. Mahathir Mohamad menerima kembali pemimpin Semangat 46, seolah-olah mereka keluar dahulu kerana faktor Anwar Ibrahim.

PAS memerintah Kelantan selama 18 tahun (1990-2008). Pilihan raya 1990, BN kalah teruk 39-0 kepada PAS kerana tokoh istana Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah digugurkan dari kabinet kerajaan Barisan Nasional. Tengku Razaleigh pernah ditugaskan sebagai teraju BN Kelentan semasa pilihan raya 1999, tetapi masih gagal merampas Kelantan dari Pas.

Kerajaan Barisan Nasional di Terengganu turut tumbang pada 1999 setelah PAS berpakat dengan Keadilan dan ditambah oleh isu pemecatan Anwar Ibrahim - tokoh yang dilihat Islamik. Veteran UMNO yang juga Menteri Besar Terengganu iaitu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad tewas kepada PAS.

Calon bebas

Calon bebas ialah calon yang tidak menyertai atau mewakili mana-mana parti politik. Lambang bagi calon bebas ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia. Pada pilihan raya-pilihan raya lalu, calon-calon bebas di semenanjung Malaysia sukar menarik minat pengundi untuk memilih mereka. Antara calon bebas yang menang ialah di Batu Laut dan Pulau Banggi.

Calon wanita

Bilangan calon wanita yang menjadi calon pilihan raya di Malaysia masih dianggap belum mencukupi, samada di piahak parti pemerintah mahupun dalam kalangan parti pembangkang.

Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Tan Seri Rafidah Aziz dan Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan menemui Menteri Besar dan Ketua Menteri agar bilangan calon wanita yang bertanding di Dewan Undangan Negeri dapat ditambah.

Terdapat ramai calon wanita dan puteri yang berpelajaran tinggi, telah berkahwin , profesional dan bijak berkomunikasi dalam persatuan dan komuniti. Masalahnya mereka masih terdedah kepada fitnah, kebenaran suami untuk bergerak jauh ke pedalaman, pulang lewat malam dan dikelilingi oleh kaum lelaki yang mendominasi suasana pilihan raya.[26] Shahrizat selaku Timbalan Pengerusi Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) mahu 20% kerusi DUN dan parlimen ditandingi oleh wanita. Pada masa ini, wakil wanita di Dewan Rakyat cuma 9.6% wanita dan hanya 6.9% di DUN. Sasaran sebenar ialah 30% wanita. [27]

Negeri

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

WP Kuala Lumpur mempunyai 13 kerusi parlimen dan tidak ada DUN. MCA memang 2 kerusi dari 5 kerusi yang ditandingi di Kuala Lumpur. MCA menang di Bandar Tun Razak (Datuk Tan Chai Ho) dan Wangsa Maju (Datuk Yew Teong Lock). DAP menang di Seputih (Teresa Kok), Kepong (Dr Tan Seng Giaw) dan Cheras (Tan Kok Wai ).[28]

Kelantan

Dalam pilihan raya 1990 , PAS menyapu bersih 39 kerusi DUN di Kelantan dan kerajaan beralih kepada PAS. Kesilapan BN ketika itu ialah masih meletakkan veteran Tan Seri Mohamad Yaakob sebagai Menteri Besar Kelantan.

Dalam pilihan raya 1994, BN menang 7 daripada 39 kerusi DUN dan 2 kerusi parlimen. Tetapi dalam pilihan raya 1999 BN merosot kembali - cuma 2 kerusi DUN dan 1 kerusi parlimen.

Dalam pilihan raya 2004, BN menang 21 daripada 45 kerusi DUN dan 9 daripada 14 parlimen di Kelantan. Dalam pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir BN menang mudah. Dengan itu PAS hanya ada majoriti 1 kerusi sahaja dan hampir membubarkan kerajaan negeri bagi mendapat mandat baru.[29]

Terengganu

Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin menyatakan keadaan Kelantan dan Terengganu seperti Jerman Barat dan Jerman Timur.

Tokoh Terengganu yang Islamik iaitu Datuk Seri Dr Yusuf Noor ditolak oleh pengundi Melayu di Terengganu pada tahun 1999. Veteran Dato Seri Wan Mokhtar Ahmad selaku Menteri Besar Terengganu yang Islamik juga ditolak kerana terlalu lama menerajui negeri Terengganu. Apabila Idris Jusoh mengetuai Barisan Nasional bersama Datuk Abdul Rahman Bakar , Terengganu kembali kepada genggaman BN. Abdul Hadi bin Awang yang menjadi Presiden PAS ditewaskan oleh Datuk Abdul Rahman Bakar di parlimen Marang.

Rujukan

WikiPedia: Senario Pilihan Raya Umum Malaysia ke-12 http://122.0.17.30/news/79429 http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3...